Breaking News
recent

Membaca Tanpa Guru, Syaitan adalah Gurunya

"Membaca tanpa guru, syaitan adalah gurunya".

Ungkapan ini selalu terpancul dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan. Pandangan itu ditolak, tidak dengan menjawab hujah, sebaliknya mengeluarkan ungkapan ini.

Walaupun ungkapan ini tidak bermuarakan kepada sumber wahyu, samada secara langsung atau tidak langsung, tetapi ia amat popular. Mungkin ia sering diungkapkan oleh orang agama, maka ia dianggap sebagai benar, walaupun ungkapan ini tidak lebih kecuali merendahkan tahap akal manusia.

Jika dianggap ungkapan ini sebagai benar, mungkin persoalan yang perlu dibangkitkan juga adalah, sejauh mana orang yang berguru itu boleh memberi jaminan bahawa guru yang mengajar beliau itu tidak pernah mengungkapkan kandungan ilmu yang tidak bercampur dengan kehendak hawa nafsunya. Jika sudah bercampur dengan kehendak hawa nafsu, bermakna secara tidak langsung ilmu dari guru itu sendiri sudah bercampur baur dengan ilmu syaitan.

Yang pasti, implikasi dari ungkapan ini melahirkan manusia yang takut membaca. Seterusnya, pengetahuan manusia akan mandom. Kesan yang paling besar adalah, projek "memaksumkan" guru akan berlaku. Sudah pasti, ia memberi kebaikan kepada nafsu guru itu, bukan kebaikan kepada tahap kebijaksanaan umat.

Dari ulasan ini, kita akan dapati bahawa ungkapan ini tidak selaras dengan logik. Malahan, jika diperhatikan pada sumber Nabi, kita akan dapati bahawa al-Imam al-Bukhari pernah meriwayatkan hadis bahawa Abu Hurairah pernah diajar oleh Syaitan agar membaca ayat kursi sebelum tidur, dengan alasan bahawa tindakan itu menyebabkan mendapat penjagaan dari Allah semasa tidur sehingga subuh. Ketika itu, Abu Hurairah tidak mengetahui bahawa yang mengajar itu adalah syaitan. Namun, ia diberitahu oleh Nabi saw dengan kata Baginda, "si pembohong itu mengajar perkara yang benar. Si pembohong itu adalah syaitan".

Hadis saheh al-Bukhari ini sendiri sudah mengajar kepada kita bahawa belajar sesuatu yang baik tidak salah, walaupun belajar itu dari syaitan. Dengan itu, lebih tidak salah jika mendapat pengetahuan menerusi membaca. Kerana, membaca tidak semestinya dipengaruhi oleh Syaitan.

Umat yang berjaya membina tamadun adalah umat yang membaca. Ungkapan yang boleh menakutkan manusia dari membaca, hakikatnya mahu meruntuhkan tamadun. Lebih rosak, jika ungkapan itu datang dengan disadurkan ungkapan keagamaan. Kerana, kesannya boleh memberikan gambaran bahawa kebodohan itu seperti bermuarakan dari agama.

Wahai orang agama, Cukup-cukuplah membodohkan manusia !!!
Unknown

Unknown

Powered by Blogger.